Peminat Tomyam

June 20, 2012

Nasib Baik Sempat Tekan Brek




Sebuah kereta Honda Civic yang dipandu laju oleh lelaki untuk pulang ke kampung halaman bersama isteri dan anak-anaknya yang tersayang bergerak menyusur di atas jalan raya biasa. Kereta dipandu laju di jalan yang lurus dengan sangkaan jalan yang lengang itu adalah selamat walaupun dipandu laju melebihi 100 km/j. Tiba-tiba sebuah Proton Saga datang dari arah sebelah kanan terus menyusur keluar dari simpang tiga lebih kurang 100 meter di hadapan.. Streetttttttttttt… bunyi kebingitan pedal brek ditekan dengan kuat…

“Fuhhh…nasib baik sempat tekan brek” kata lelaki berkenaan setelah keretanya berhenti betul-betul di sebelah Proton Saga itu.

Walaupun brek mengejut yang ditekan itu berjaya menghentikan pergerakan kereta daripada merempuh kereta yang sebuah lagi, namun mereka masih terkejut dengan kejadian yang tidak disangka akan berlaku itu.

“Itulah abang, pandu laju sangat.. kan saya dah cakap tadi..” keluh si isteri yang berada di sebelah.

“Kereta tu yang salah, keluar simpang tak berhenti dulu..”

Dua orang anak mereka yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa yang sedang berlaku masih terpinga-pinga. Seorang daripada mereka menangis ketakutan.

“Alhamdulillah.. syukur kita selamat sayang.. nasib baik Abang sempat tekan brek” kata lelaki itu lagi.

Ungkapan ‘nasib baik sempat tekan brek’ seolah-olah menyamai ungkapan ‘nasib baik sempat elak’, ‘nasib baik aku tak pergi sana semalam’, ‘nasib baik aku tak buat perkara tu’, ‘ nasib baik aku tak jumpa dia’, ‘nasib baik aku datang hari ini’ dan macam-macam lagi ungkapan yang seerti dengannya.

Dan diikuti dengan ungkapan ‘Kalau tidak……bla, bla dan bla..’

Inilah persepsi kebanyakan manusia apabila terselamat daripada kejadian yang tidak diingini terus merasakan nasibnya baik walaupun mereka telah melakukan perkara-perkara yang terlarang dan tidak mengambil sebarang langkah pencegahan terlebih dahulu. Tetapi selepas itu, mereka mengulangi perbuatan yang sama seolah-olah tiada nilai keinsafan dalam diri mereka.

Apa punca semua ini? Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku sebelum ini? Atau kita harus menunggu terjadinya sesuatu yang buruk kepada diri kita mahupun keluarga kita baru hendak terngadah?

Apakah kita hendak memakai topi kelendar ketika menunggang motosikal dan mematuhi had laju ketika memandu kenderaan setelah kita parah akibat kemalangan?

Apakah setelah kita dirogol baru hendak menutup aurat sepenuhnya?

Apakah setelah ibu bapa kita meninggal dunia baru kita hendak menziarahi dan berbuat-buat baik kepada mereka?

Apakah kita perlu menunggu Malaikat Maut datang untuk mengambil nyawa baru kita terkocoh-kocoh hendak bertaubat?

Apakah setelah kita dihumban ke Neraka Allah baru kita hendak menunaikan segala perintahNya yang selama ini kita ingkar?

Astaghfirullahala’zim…

Kita tak mahu semua ini berlaku, tetapi kita masih tidak sedar. Kenapa? Kenapa kita masih hendak menunggu saat ‘brek ditekan’? Kenapa kita tidak mahu mengambil sedikit masa untuk mengambil langkah pencegahan?

Mendengar Nasihat Orang Lain

Terjatuhkan ego anda apabila anda mendengar nasihat daripada orang lain? Seeloknya pandangan orang lain diambil kira terutama dalam membuat sesuatu keputusan. Kenapa perlu ego? Adakah kita sudah hebat sehingga tidak memerlukan pendapat orang lain?

Sikap tidak mahu mendengar ‘suara’ orang lain adalah antara sikap pentingkan diri sendiri. Orang yang pentingkan diri sendiri hanya mahu mengikut suara nafsu dan keinginannya saja, padahal perbincangan bersama mempunyai seribu keberkatan.

Ketepikan pangkat dan darjat untuk mengambil pandangan orang lain. Ketepikan status dan kuasa. Contohilah Nabi Sulaiman a.s yang sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba'.

Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya memutuskan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan?

Dalam kehidupan ini, ada 3 suara yang kita perlu dengar, iaitu suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita, kedua ialah suara pelanggan kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka dan ketiga ialah suara lawan kerana melalui kritikan mereka kita tahu kelemahan diri kita.

Manakala seorang suami sepatutnya mendengar pandangan daripada isterinya dan tidak memperlekehkan walaupun pandangan tersebut tidak bernas.

Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar nasihat orang lain, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka.

Elak Pisang Berbuah Dua Kali

Kesilapan yang pernah dilakukan memang perlu diambil pengajaran untuk kita ketahui kelemahan diri dan seterusnya memperbaiki diri. Tetapi bagaimana jika kita asyik mengulangi kesilapan yang sama sahaja? Adakah itu merupakan suatu usaha untuk memperbaiki diri sendiri?

Oh..tidak! Jangan ulang kesilapan yang sama berulang-ulang kali, sebab nanti kita tidak jumpa jalan untuk berpatah balik.

Mengulangi kesalahan yang sama mencerminkan peribadi kita yang teruk. Manakan tidak, seorang yang berjalan dan jatuh longkang pada hari pertama, adakah dia akan lalu di jalan yang sama dan jatuh longkah lagi untuk hari kedua? Tidak kan!! Kalau ya, memanglah patut dia dikatakan tidak waras! Takkanlah kita nak ulang kesalahan yang memalukan dan menyakitkan jika kita adalah seorang yang waras!.

Kesalahan yang pernah kita lakukan dulu, kita kaji apa puncanya, apa kesannya, dan apa iktibarnya. Kalau ini yang berlaku, kita mungkin tidak akan selalu ‘tekan brek’ malah kita akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Jangan bodohkan diri dan diperbodohkan. Apabila sudah bertaubat, maka akan disusuli dengan usaha supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Memang perit untuk berubah menjadi lebih baik, dugaan dan rintangan sentiasa menghalangi, namun ingatlah bahawa Allah S.W.T itu Maha Penilai. Kesungguhan yang ditunjukkan kita sedikit sebanyak akan mendapat keberkatan daripadaNya.

Yakin dan percayalah bahawa setiap usaha ke arah kebaikan itu akan membuahkan hasil.

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung”. ( Al-Imran:200)

Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati

‘Prevention is Better Than Cure’ adalah satu pepatah yang menarik di mana mengingatkan manusia supaya mengambil langkah pencegahan mengenai perbuatan yang akan dilakukan untuk mengelakkan sebarang perkara buruk daripada berlaku berbanding apabila sudah ditimpa bencana, baru hendak beringat.

Berhentilah! Jangan lakukan! Tinggalkan! segala perkara buruk, jahat, sia-sia, mungkar dan maksiat yang terang-terang membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain.

Beringatlah sebelum terkena! Jangan mudah mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan, dan jangan pula merasakan bahawa nasib sentiasa baik. Kita tiada kuasa untuk menentukan nasib kita, sebaliknya kita mampu untuk berusaha menjadi lebih baik.  

Janganlah pula ‘sudah terhantuk lagikan terngadah’. Nasihat orang tidak didengari, kesalahan lalu pula diulangi, kelak nanti memakan diri. Apabila berlaku sesuatu perkara, baru hendak menunding jari kepada orang lain, padahal pentingkan diri sendiri.

Adakah kita yakin esok kita masih hidup?

Adakah kita yakin dapat menikmati syurga?

Selagi terdaya, berusahalah menjadi lebih baik, berusahalah mengelak kemurkaanNya dan berusahalah jauhi azabNya.

InsyaAllah kita tak akan ‘tekan brek’ selagi masanya belum tiba.


No comments: